Budi Bahasa Budaya Kita

Budi Bahasa Budaya Kita

Wednesday, 2 October 2013

KONSEP KESANTUNAN BERBAHASA


















Menurut Kamus Dewan, 1994 Santun merupakan perihal (sifat dsb) santun, kesopanan, kehalusan (budi bahasa atau budi pekerti). Berbahasa dengan santun ialah menggunakan bahasa secara:halus, nilai rasa yang baik, penuh kesopanan, dan berusaha menghindari konflik antara penutur dengan pendengar dalam proses berkomunikasi. 

PANDANGAN TOKOH-TOKOH DUNIA DAN TEMPATAN

  •  Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi.
  •   Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi.
  • Kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan Levinson, 1987).
  •  Leech (1983), menginterpretasikan kesantunan sebagai perlakuan yang dapat mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi.Contohnya: bahasa mesti halus, beradab sopan, perlakuan lemah-lembut, dan berbudi pekerti.
  • J. Ferguson dan Das Gupta (1968), mentafsir kesantunan itu berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar sebagai usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik. Misalnya: wujud persetujuan bersama dalam masyarakat, mewujudkan etika dan peraturan bermasyarakat, biasanya mengamalkan budaya yang sama dan ingin melahirkan masyarakat yang harmoni dan aman.
  • Grice mendefinisikan kesantunan merujuk kepada komunikasi secara santun dan hendaklah memperlihatkan prinsip kerjasama dan prinsip kesantunan.Beliau telah membahagikan kesantunan kepada empat maksim iaitu: maksim kuantiti, maksim kualiti, maksim kekeluargaan (pertalian) dan maksim cara.
  • Menurut Asmah Haji Omar, 2000, kesantunan ialah kaedah atau strategi yang digunakan oleh penutur untuk mencapai tujuan tertentu. Strategi ini dikaitkan dengan kesantunan dan perlu dikuti dengan tingkah laku dan tutur kata yang santun. Beliau  telah membahagikan kesantunan kepada dua jenis iaitu kesantunan asas dan kesantunan berkala. Beliau berkata bahawa kesantunan bukan strategi semata-mata sebaliknya kesantunan merupakan ciri budaya yang menghendaki ahli masyarakatnya bersopan santun dan menghormati antara satu sama lain. Malahan, beliau berkata bahawa pembinaan tingkah laku yang santun dalam kalangan orang Melayu adalah menerusi proses didikan yang panjang dan berterusan. Ini menjadi ciri budaya orang Melayu. Oleh hal yang yang demikian Islam adalah tunjang pembinaan budaya orang Melayu.
  •  Awang Sariyan(2007) memberi definisi kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara.

Rumusan bagi takrif kesantunan berbahasa adalah santun berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan bahasa yang digunakan oleh seseorang ketika berkomunikasi. Bahasa yang digunakan mestilah digunakan penuh dengan adab, tertib dan bertatasusila supaya wujud suasana komunikasi yang harmoni tanpa sebarang pergeseran atau konflik.


Kesantunan berbahasa merangkumi pemilihan kata, nada, gerak laku dan gaya dan ragam.Pemilihan kata haruslah Sesuai dengan situasi dan topik perbincangan. Nada perlu rendah / lembut manakala gerak laku adalah lemah lembut. Gaya dan ragam adalah tidak mengejek, menyindir, perli atau menempelak. Ciri- ciri kesantunan bahasa banyak, contohnya dari segi nada suara misalnya mesti tenang, lembut, jelas, tidak nyaring, tidak sinis, tidak marah, mengawal perasaan, tidak mengada-ngada dan tidak biadap.


Dalam kesantunan berbahasa, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama. Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan. Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar ``disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tata tertib.''Kesantunan berbahasa juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya ialah laras bahasa istana. Antara ungkapan berkenaan ialah patik, tuanku, berangkat, bersiram, bersemayam, junjung kasih, bercemar duli dan sebagainya. Kata dan ungkapan bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa. Pemilihan kata dan ungkapan cuma bergantung kepada kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan.



RUJUKAN

Asmah Hj. Omar.(2000). Wacana perbincangan, perbahasan dan perundingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sarian.(2007). Bahasa sebagai jati diri bangsa: Isu, cabaran dan keupayaan pelastarian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fishman. J. Ferguson & Das Gupta.(Ed. 1968). Language problem of developing nations. New York : John Wiley.

Kamus Dewan Edisi Baharu. (1984). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leech, Geoffrey, N (1983). Principles of pragmatics. London : Longman.

Samuel P.Huntington, 1997, The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order, London: Simon & Schuster.

Teo Kok Seong.(2003) . Kesantunan berbahasa kes bahasa Melayu. Dewan Bahasa Mac hal. 14-23. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaaba. (1964). Kalong bunga buku 1. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka


No comments:

Post a Comment